Entry: Jangan ceroboh perairan asing Thursday, May 25, 2006



Jangan ceroboh perairan asing - Polis Marin

Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 24 Mei - Polis Marin Wilayah Selatan memberi amaran kepada nelayan-nelayan di sepanjang perairan pantai Melaka dan Johor supaya tidak menceroboh perairan negara jiran untuk mengelak daripada tindakan pihak berkuasa dan nelayan asing.

Timbalan Ketua Polis Marin Wilayah Selatan, Supritendan Omar Dawam menegaskan, sikap degil segelintir nelayan itu boleh mengundang bahaya kerana mereka mungkin ditembak oleh penguat kuasa atau nelayan dari negara jiran.

Menurutnya, apabila berlaku kejadian seperti itu, mereka mendakwa ditembak tanpa alasan sedangkan mereka sebenarnya telah memasuki negara lain.

``Inilah masalah yang berlaku ketika ini. Ramai nelayan tempatan sengaja menceroboh perairan negara jiran dan apabila ditembak, mereka mendakwa ia berlaku di kawasan perairan negara.

``Malah, tindakan nelayan terbabit yang menyembunyikan fakta termasuk lewat membuat laporan polis menyukarkan siasatan kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan pampasan kepada balu Allahyarham Lans Koperal Baharuddin Samad, anggota Polis Marin Johor Bahru yang meninggal dunia pada 8 Disember lalu, di rumah keluarganya di Serom 5 Hulu, dekat sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pangkalan Polis Marin daerah Muar, Asisten Supritendan Ghazali Haron.

Omar ditanya mengenai kes nelayan tempatan ditembak di perairan Muar yang didakwa membabitkan nelayan dari negara jiran yang semakin meningkat.

Ketika ini, terdapat lebih 500 nelayan tempatan di sepanjang perairan Muar yang bermula dari Kesang sehingga ke Parit Jawa, dekat sini.

Menurut Omar, walaupun polis marin sering mengadakan pertemuan dan dialog dengan para nelayan di daerah ini tetapi masalah itu masih kerap berlaku.

Apa yang dikhuatirkan, kata beliau, nelayan tempatan yang menceroboh perairan negara jiran mungkin menghadapi tindakan yang boleh mengancam nyawa mereka.

``Seperti juga kita, sekiranya ada pihak luar yang menceroboh kawasan kita untuk mencari rezeki, sudah tentu mereka akan menerima tindakan keras.

``Justeru, nelayan tempatan perlu menyedari bahawa mereka tidak boleh memasuki kawasan perairan jiran kerana ia sudah digariskan dalam peraturan kedua-dua negara,'' jelas beliau.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, pihaknya sedang memantau tindakan segelintir nelayan di daerah ini yang menyalahgunakan permit dengan menggaji pekerja asing untuk bekerja sebagai nelayan.

Selain itu, tegas beliau, pihaknya juga mengesan terdapat pendatang asing tanpa izin yang menyamar sebagai nelayan semata-mata untuk berulang alik ke negara mereka.

``Walaupun jumlahnya agak kecil tetapi kita akan sentiasa membuat rondaan sehingga ke Pulau Undan yang terletak bersempadan dengan Indonesia bagi mencegah kegiatan itu,'' katanya. (Sumber: Utusan Malaysia 25/5/2006)

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments