Entry: Gaduh rebut bantal Wednesday, May 10, 2006



Gaduh rebut bantal


MUAR: Hanya kerana masalah bantal, dua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Ledang, Kilometer 51 Jalan Jementah-Muar, dekat sini, berselisih faham dan bertumbuk, Ahad lalu.

Pergaduhan antara kedua-dua pelatih berusia 18 tahun yang berlaku kira-kira jam 7.40 petang itu menyebabkan seorang daripada mereka terpaksa menerima rawatan di Hospital Segamat.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan hanya mengalami kesan lebam akibat ditumbuk dan sudah dibenarkan menyambung latihan di kem berkenaan, semalam.

Sehubungan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Tangkak oleh pihak pengurusan kem terbabit, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Daud Ahmad mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Katanya, siasatan sudah dijalankan bagaimanapun tiada tangkapan dibuat sehingga kini.

“Mereka dikatakan bergaduh kerana timbul salah faham berkaitan bantal, namun pergaduhan itu tidak membabitkan pelatih lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pergaduhan berlaku selepas kedua-dua pelatih terbabit bertengkar beberapa kali akibat tidak puas hati yang berpunca daripada bantal.

“Pertengkaran pertama pada jam 7.40 petang berjaya diredakan, tetapi kira-kira sejam kemudian berlaku pertengkaran kedua yang menyebabkan mereka mula bertumbuk,” katanya.

Difahamkan kejadian itu adalah yang pertama pernah dilaporkan di kem yang mempunyai kira-kira 300 pelatih dalam satu masa itu.

Pada 21 April lalu, seorang pelatih di Kem Padang Hijau PLKN, Kluang, Haziq Jaafar, 17, meninggal dunia selepas bergaduh dengan seorang pelatih lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Haziq dikatakan bergaduh dengan seorang pelatih lain ketika mereka bersama 10 pelatih lagi berehat di ruang menonton televisyen.

Berikutan itu, mangsa, dari Ladang Tai Tak, Kota Tinggi dan seorang lagi pelatih dibawa ke Hospital Kluang, namun Haziq disahkan meninggal dunia pada jam 11.55 malam, dipercayai akibat patah leher.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments