Entry: Banjir di atas bukit Saturday, April 22, 2006



Banjir di atas bukit

Oleh aizan73@yahoo.com (Anakmuar Dot Com)

MUAR: Sikap mengabaikan dan tidak mengambilkira kesan alam sekitar oleh pemilik dan kontaktor sebuah projek pembangunan industri di batu 7 1/2, Jalan Bakri - Yong Peng, Muar telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga buah kilang ditengelami banjir kilat pada petang Ahad yang lalu walaupun kedudukan ketiga-tiga kilang tersebut di atas bukit.

Antara kilang-kilang yang terbabit adalah Hak Hwee Sdn.Bhd., Technecon Precision Sdn.Bhd. dan So Special Plastic Enterprise Sdn.Bhd.

Hujan yang bermula dari pukul 3.50 petang dan berlanjutan selama dua jam itu telah menyebabkan beberapa mesin dan produk yang masih di dalam proses pengeluaran menjadi rosak atau separa rosak. Selain dari itu, beberapa peralatan pejabat seperti komputer yang diletakkan di lantai turut rosak disebabkan bencana tersebut.

Beberapa pekerja syarikat terbabit yang sedang bercuti dan tinggal berhampiran telah dipanggil untuk membantu menyelamatkan peralatan dan barangan yang berharga.

Pengarah Urusan Hak Hwee Sdn.Bhd., Tan Hup Lian, berkata kejadian banjir 16 Mac merupakan kejadian ketiga di dalam tempoh sebulan. Kejadian pertama berlaku pada 31 Mac manakala kejadian kedua berlaku pada 6 Mac yang lalu. Pihak syarikat telah membuat laporan polis bagi kedua-dua kejadian terdahulu selain aduan di Majlis Perbandaran Muar dan Pejabat Tanah Muar.

"Siapa sangka di atas bukit pun ada banjir. Jadi kami tidak menginsurankan kilang kami dengan insurans banjir. Sudah empat tahun lebih kami buka kilang tapi tak pernah banjir. Bila ada projek di sebelah baru berlaku banjir..," ujar Tan Hup Lian yang trauma apabila mendengar bunyi hujan.

"Saya akan berkejar ke kilang yang terletak lebih 10km dari rumah saya walaupun di waktu malam apabila terdengar bunyi hujan renyai. Hidup saya tidak lagi tenteram seperti dulu," kata Encik Tan Hup Lian lagi.

Bagi Noraizan bin Mohd.Sharif yang merupakan Pengurus Sumber Manusia di syarikat tersebut, beliau terpaksa memberi cuti tidak bergaji sekurang-kurangnya dua hari kepada sebahagian besar pekerja setiap kali berlaku bencana banjir. Kira-kira 100 pekerja akan terjejas pendapatan mereka manakala hanya sebahagian kecil sahaja yang akan bertugas membersihkan kawasan kilang.

Lee Chyn Hann yang merupakan Pengurus Pemasaran berkata bencana banjir ini menjejaskan reputasi syarikat. Ini kerana pihak syarikat gagal untuk mematuhi tarikh penghantaran yang ditetapkan oleh pembeli. Ia juga mungkin akan menjejaskan peluang syarikat untuk mendapatkan kontrak yang sama di masa hadapan.

Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan oleh pihak syarikat, banjir dipercayai berlaku akibat kegagalan pemilik dan kontraktor projek perindustrian bersebelahan mengambilkira kesan alam sekitar semasa membuat perancangan projek pembangunan industri tersebut. Pemaju projek seluas kira-kira 47 ekar, Saribina Holding yang berpejabat di Pulau Pinang dikatakan memulakan projek tapak tanpa mendapat kebenaran sepenuhnya daripada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Muar.

Ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan penambahan ketinggian aras tanah projek sekurang-kurangnya satu meter lebih tinggi dari aras tanah kilang yang berhampiran dipercayai menjadi punca kejadian banjir tersebut. Ini kerana sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran tanah dan lumpur yang datang dari projek tersebut.

Penimbusan dua kolam besar yang terdapat di tapak yang sedang diusahakan itu menambahkan lagi jumlah air dan lumpur yang terpaksa ditampung oleh parit yang sempit.

Pihak pemaju juga meninggikan aras tanah projek kira-kira satu meter lebih tinggi daripada aras tanah kilang-kilang yang bersebelahan dengan projek tersebut.

Apa yang dikesali ialah pihak yang berkenaan masih gagal untuk menyelesaikan masalah tersebut walaupun ia telah beberapa kali berulang. Keadaan yang tiada kesudahan ini menerbitkan trauma dan tekanan perasaan kepada pihak pengurusan.

Pihak sub kontraktor yang melihat kawasan bencana selepas beberapa hari bencana berlaku berkata mereka telah membina parit dan sebarang kejadian banjir bukanlah masalah mereka.

Sub kontraktor tersebut berkata banjir kini berlaku di mana-mana samada di Johor Bahru atau di Kuala Lumpur. Namun apa yang menjadi persoalan ialah kenapa baru sekarang ia berlaku? Kenapa sebelum ini tiada banjir?

Pihak Majlis Perbandaran Muar, Encik Nazri dan Encik Saharudin berkata, pihak mereka telah menghantar notis kepada pemaju dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. Pihak MPM juga mendapati tiada sebarang kelulusan diberi untuk kerja-kerja tapak.

Pemaju dipercayai tidak sabar untuk melaksanakan projek dan ingin melaksanakan ia dengan segera. Keadaan inilah yang menyebabkan projek tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa perancangan yang mengambilkira kesan dan akibat terhadap alam sekitar.

Pejabat Tanah Muar pula menjelaskan tapak tanah tersebut dimiliki pihak persendirian dan mereka tidak mempunyai kuasa dan tidak bertanggungjawab di atas setiap kejadian yang berlaku.

Pihak-pihak pengilang yang terbabit berkata mereka berharap semoga pemaju lebih bertanggungjawab dan bekerjasama mnyelesaikan kemelut dan masalah yang dihadapi mereka kerana ia menjejaskan pendapatan syarikat dan menjejaskan pendapatan pekerja. Ia juga menganggu perjalanan dan kehidupan seharian kesemua yang terbabit di dalam bencana tersebut samada secara langsung atau tidak langsung.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments