Entry: Beg udara penyelamat Friday, April 21, 2006



Beg udara penyelamat
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin

MUAR: Beg udara menyelamatkan seorang wanita yang mengandung lapan bulan daripada maut dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kilometer 16, Muar-Tangak, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Yang Geok Swee, 23, terselamat apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan.

Geok Swee dikatakan memandu berseorangan ketika dalam perjalanan pulang dari bandar Tangkak ke rumahnya di Serom, dekat sini.

Jurucakap polis berkata, kereta Honda City yang dipandunya dikatakan gagal mengelak sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan ketika menghampiri satu kawasan pembinaan jalan.

Katanya, mangsa dikeluarkan orang ramai yang melalui tempat kejadian dan menghantarnya ke Hospital Tangkak sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut.

Manakala pemandu Proton Wira terbabit tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut bapa mangsa, Yang Liew Tee, 50-an, sebelum kejadian Geok Swee datang ke rumahnya di Tangkak untuk menziarahi ibunya dan bertolak balik ke Serom pada jam 8 malam.

“Selepas berjumpa ibunya, dia meminta diri untuk pulang ke rumah kerana hari sudah malam dan saya berpesan kepadanya supaya berhati-hati memandu,” katanya.

Bagaimanapun Liew Tee berkata, dia dan keluarga amat terkejut dengan berita kemalangan yang menimpa anaknya selepas menerima satu panggilan telefon kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, dia bergegas ke hospital Tangkak apabila diberitahu anaknya dihantar ke sana sejurus diselamatkan orang ramai.

“Ketika itu saya hanya berdoa supaya dia dan bayi dalam kandungannya selamat, ini adalah anaknya yang pertama,” katanya ketika ditemui.

“Saya diberitahu anak saya amat bernasib baik kerana beg udara yang menghalang daripada mengalami kecederaan serius terutamanya anak dalam kandungan.

“Dia terselamat dalam kejadian ini dan saya berdoa dia juga akan selamat bersalin bulan depan,” katanya.

(Harian Metro 21/4/2006)

   1 comments

Itan
April 25, 2010   07:15 PM PDT
 
"SRS Airbag is a prove of live saver"

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments