Entry: 'Kami dibogel' Thursday, April 13, 2006



'Kami dibogel'


MUAR: “Kami tertekan dengan jelingan setiap mata yang memandang ke arah kami di tempat kerja selepas kejadian itu,” kata dua operator pengeluaran wanita yang mendakwa dibogelkan pegawai keselamatan sebuah kilang di sini.

Kedua-dua wanita tempatan itu mendakwa diarah menanggalkan pakaian oleh pegawai keselamatan wanita kilang berkenaan untuk menjalani pemeriksaan badan selepas disyaki membawa keluar barangan milik kilang itu.

Kejadian pada 26 Februari itu berlaku kira-kira jam 7 pagi apabila kedua-dua mangsa dalam perjalanan keluar dari tempat kerja selepas menamatkan syif malam.

Mangsa pertama berusia 30-an berkata, dia ditahan ketika melangkah keluar melalui pos pengawal keselamatan di pintu utama kilang berkenaan.

Katanya, disebabkan disyaki membawa barang yang tidak sepatutnya keluar dari kilang berkenaan, dia dibawa ke sebuah bilik untuk menjalani pemeriksaan.

“Bilik yang digunakan itu sebenarnya bukan bilik khusus untuk melakukan pemeriksaan, sebaliknya bilik tetamu dan saya diperiksa menggunakan alat pengesan logam.

“Oleh kerana mereka tidak dapat mengesan sebarang barang terlarang pada saya, mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian pula,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sebelum diarahkan berbuat demikian, seorang daripada dua pegawai keselamatan wanita terbabit keluar dari bilik itu dan masuk semula beberapa minit kemudian.

“Selepas dia masuk itulah saya diarah melucutkan pakaian sehingga bertelanjang bulat,” katanya.

Wanita itu mendakwa, arahan menanggalkan pakaian itu dibuat pegawai atasan kilang berkenaan selepas alat pengesan logam gagal menjumpai barang yang mereka dakwa dia cuba membawa keluar dari kilang itu.

“Saya yakin pegawai keselamatan itu mendapat arahan daripada pihak atasan supaya meneruskan pemeriksaan dengan menelanjangkan saya,” katanya yang lebih 20 tahun bekerja di kilang terbabit.

Mangsa kedua berusia 20-an pula mendakwa, dia menghabiskan masa kira-kira 20 minit di dalam bilik berkenaan bagi menjalani pemeriksaan badan.

“Selepas tidak berpuas hati dengan alat pengesan logam itu, mereka suruh saya membuka tudung dan menanggalkan pakaian.

“Walaupun tindakan itu dilakukan di dalam bilik tertutup yang disaksikan dua pegawai keselamatan wanita, ia sesuatu yang amat memalukan,” katanya.

Wanita berkenaan mendakwa membuat aduan kepada pihak tertinggi pengurusan kilang berkenaan berhubung kejadian itu tetapi mereka diminta supaya melupakan perkara itu.

“Kami membawa pengalaman yang memalukan itu ke pengetahuan majikan, sebaliknya kami pula diminta melupakannya dan terus bekerja seperti biasa,” katanya.

Mangsa yang turut membuat laporan polis berhubung kes itu mendakwa, perasaannya terganggu setiap kali menjalankan tugas.

“Emosi kami tidak tenteram kerana sejak kejadian itu kami merasakan setiap mata yang memandang kami seolah-olah mencemuh.

“Bagi kami kejadian ini benar-benar menjatuhkan maruah, bukan saja diri sendiri tetapi juga keluarga,” katanya.

Disebabkan nasib mereka tidak terbela dengan kejadian yang menjatuhkan maruah itu, kedua-dua mangsa mengambil tindakan undang-undang dengan melantik peguam.

Sehubungan itu, mereka melantik Salmi Hamdan dari Ti-Hazalan & Co bagi memfailkan kes mereka di mahkamah, semalam.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments