Entry: Remaja rogol adik kena penjara 30 tahun, 16 sebatan Tuesday, March 21, 2006



Remaja rogol adik kena penjara 30 tahun, 16 sebatan

MUAR: Seorang remaja yang gemar menonton filem lucah dihukum penjara 30 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan merogol adik kandungnya yang berusia 17 tahun pada Mei 2005 dan Februari lalu.

Remaja berusia 19 tahun itu yang mengaku menonton filem lucah bersama rakannya ketika ibunya tiada di rumah, dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan bagi setiap tuduhan rogol itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Fauzi Mohd Nasir memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berasingan bermula daripada tarikh hukuman dijatuhkan semalam.

Ketika Mohd Fauzi bertanya kenapa tertuduh merogol adiknya sendiri, remaja itu menjawab perbuatan itu dilakukan kerana tertekan selepas kematian bapanya pada Mei tahun lalu.

Mohd Fauzi: "Kamu merogol adik sendiri kerana tertekan atas kematian bapa kamu, tidakkah kamu tahu perbuatan kamu itu menimbulkan masalah yang lebih besar?".

Tertuduh: (Tunduk dan diam saja)

Ibunya, berusia lingkungan 50-an yang duduk di belakang kandang tertuduh kelihatan menangis selepas Mohd Fauzi menjatuhkan hukuman ke atas remaja berusia 19 tahun itu.

Remaja yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sebelum itu merayu bagi meringankan hukuman dengan alasan mempunyai seorang ibu yang sudah tua dan sudah mengaku salah terhadap perbuatannya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Lim Ah Bah memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia membabitkan kesalahan serius iaitu sumbang mahram.

"Perbuatan tertuduh memberikan kesan trauma yang teruk terhadap adiknya, sehubungan itu hukuman yang setimpal wajar dikenakan terhadap tertuduh," katanya.

Sementara itu, laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan remaja terbabit gemar menonton filem lucah bersama rakannya di rumah ketika ketiadaan ibunya.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan pertama, dia dituduh merogol adiknya di sebuah rumah di Jalan Abdul Rahman, Parit Jawa, dekat sini, pada Mei 2005.

Bagi tuduhan kedua, dia dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di tempat yang sama pada 14 Februari lalu.

Pada 7 Mac lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman yang sama terhadap abang tertuduh berusia 23 tahun selepas mengaku merogol adiknya pada November 2004 dan 24 Januari lalu.

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments