|
|
 |
Thursday, May 25, 2006
Jangan ceroboh perairan asing
Jangan ceroboh perairan asing - Polis Marin
Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR
MUAR 24 Mei - Polis Marin Wilayah Selatan memberi amaran kepada nelayan-nelayan di sepanjang perairan pantai Melaka dan Johor supaya tidak menceroboh perairan negara jiran untuk mengelak daripada tindakan pihak berkuasa dan nelayan asing.
Timbalan Ketua Polis Marin Wilayah Selatan, Supritendan Omar Dawam menegaskan, sikap degil segelintir nelayan itu boleh mengundang bahaya kerana mereka mungkin ditembak oleh penguat kuasa atau nelayan dari negara jiran.
Menurutnya, apabila berlaku kejadian seperti itu, mereka mendakwa ditembak tanpa alasan sedangkan mereka sebenarnya telah memasuki negara lain.
``Inilah masalah yang berlaku ketika ini. Ramai nelayan tempatan sengaja menceroboh perairan negara jiran dan apabila ditembak, mereka mendakwa ia berlaku di kawasan perairan negara.
``Malah, tindakan nelayan terbabit yang menyembunyikan fakta termasuk lewat membuat laporan polis menyukarkan siasatan kita,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan pampasan kepada balu Allahyarham Lans Koperal Baharuddin Samad, anggota Polis Marin Johor Bahru yang meninggal dunia pada 8 Disember lalu, di rumah keluarganya di Serom 5 Hulu, dekat sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pangkalan Polis Marin daerah Muar, Asisten Supritendan Ghazali Haron.
Omar ditanya mengenai kes nelayan tempatan ditembak di perairan Muar yang didakwa membabitkan nelayan dari negara jiran yang semakin meningkat.
Ketika ini, terdapat lebih 500 nelayan tempatan di sepanjang perairan Muar yang bermula dari Kesang sehingga ke Parit Jawa, dekat sini.
Menurut Omar, walaupun polis marin sering mengadakan pertemuan dan dialog dengan para nelayan di daerah ini tetapi masalah itu masih kerap berlaku.
Apa yang dikhuatirkan, kata beliau, nelayan tempatan yang menceroboh perairan negara jiran mungkin menghadapi tindakan yang boleh mengancam nyawa mereka.
``Seperti juga kita, sekiranya ada pihak luar yang menceroboh kawasan kita untuk mencari rezeki, sudah tentu mereka akan menerima tindakan keras.
``Justeru, nelayan tempatan perlu menyedari bahawa mereka tidak boleh memasuki kawasan perairan jiran kerana ia sudah digariskan dalam peraturan kedua-dua negara,'' jelas beliau.
Dalam pada itu, Omar memberitahu, pihaknya sedang memantau tindakan segelintir nelayan di daerah ini yang menyalahgunakan permit dengan menggaji pekerja asing untuk bekerja sebagai nelayan.
Selain itu, tegas beliau, pihaknya juga mengesan terdapat pendatang asing tanpa izin yang menyamar sebagai nelayan semata-mata untuk berulang alik ke negara mereka.
``Walaupun jumlahnya agak kecil tetapi kita akan sentiasa membuat rondaan sehingga ke Pulau Undan yang terletak bersempadan dengan Indonesia bagi mencegah kegiatan itu,'' katanya. (Sumber: Utusan Malaysia 25/5/2006)
Friday, May 12, 2006
Raja Gambus meninggal dunia
Raja Gambus meninggal dunia
Ulasan oleh Anakmuar
Fadhil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Raja Gambus yang merupakan anak kelahiran Muar, meninggal dunia pada hari Rabu yang lalu (10/5/2006).
Pemergian bekas pensyarah muzik gambus Akademi Seni Kebangsaan ini merupakan suatu kehilangan besar bukan sahaja kepada warga Muar tetapi kepada seluruh Malaysia.
Arwah yang mula menjinakkan diri dengan alat muzik gambus bermula pada usia 17 tahun telah membina nama dengan kumpulan Sri Maharani yang ditubuhkan pada tahun 1971.
Arwah pernah mencipta dan mempopularkan beberapa lagu beliau seperti "Si Dia Datang", "Joget Empat Dara", "Joget Secawan Kopi", "Joget Memikat Janda", "Terkenang Si Dia" dan "Si Cantik Manis".
Internet percuma di Muar?
Internet percuma di Muar?
Ulasan oleh: Anakmuar

Kakitangan Hotel Seri Pelangi Muar berbangga dengan kemudahan internet percuma yang terdapat di hotel mereka (Foto oleh Malay Mail)
Siapa kata tiada yang percuma di dunia ini? Inilah yang dibuktikan oleh pihak pengurusan Hotel Seri Pelangi di Bandar Maharani Muar, Johor apabila membenarkan pelanggan hotel mereka melayari internet jalur lebar (Broadband) secara percuma.
Para pelanggan hanya perlu membawa komputer riba (notebook) mereka dan dengan serta merta 'dunia' akan berada di depan mereka. Bukan sahaja 'dunia' masa kini akan berada di hadapan mereka, malah 'dunia' masa hadapan.
Wednesday, May 10, 2006
Gaduh rebut bantal
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
(Harian Metro 10/5/2006)
MUAR: Hanya kerana masalah bantal, dua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Ledang, Kilometer 51 Jalan Jementah-Muar, dekat sini, berselisih faham dan bertumbuk, Ahad lalu.
Pergaduhan antara kedua-dua pelatih berusia 18 tahun yang berlaku kira-kira jam 7.40 petang itu menyebabkan seorang daripada mereka terpaksa menerima rawatan di Hospital Segamat.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan hanya mengalami kesan lebam akibat ditumbuk dan sudah dibenarkan menyambung latihan di kem berkenaan, semalam.
Sehubungan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Tangkak oleh pihak pengurusan kem terbabit, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Daud Ahmad mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Katanya, siasatan sudah dijalankan bagaimanapun tiada tangkapan dibuat sehingga kini.
“Mereka dikatakan bergaduh kerana timbul salah faham berkaitan bantal, namun pergaduhan itu tidak membabitkan pelatih lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, pergaduhan berlaku selepas kedua-dua pelatih terbabit bertengkar beberapa kali akibat tidak puas hati yang berpunca daripada bantal.
“Pertengkaran pertama pada jam 7.40 petang berjaya diredakan, tetapi kira-kira sejam kemudian berlaku pertengkaran kedua yang menyebabkan mereka mula bertumbuk,” katanya.
Difahamkan kejadian itu adalah yang pertama pernah dilaporkan di kem yang mempunyai kira-kira 300 pelatih dalam satu masa itu.
Pada 21 April lalu, seorang pelatih di Kem Padang Hijau PLKN, Kluang, Haziq Jaafar, 17, meninggal dunia selepas bergaduh dengan seorang pelatih lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, Haziq dikatakan bergaduh dengan seorang pelatih lain ketika mereka bersama 10 pelatih lagi berehat di ruang menonton televisyen.
Berikutan itu, mangsa, dari Ladang Tai Tak, Kota Tinggi dan seorang lagi pelatih dibawa ke Hospital Kluang, namun Haziq disahkan meninggal dunia pada jam 11.55 malam, dipercayai akibat patah leher.
Saturday, April 22, 2006
Banjir di atas bukit
Oleh aizan73@yahoo.com (Anakmuar Dot Com)
MUAR: Sikap mengabaikan dan tidak mengambilkira kesan alam sekitar oleh pemilik dan kontaktor sebuah projek pembangunan industri di batu 7 1/2, Jalan Bakri - Yong Peng, Muar telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga buah kilang ditengelami banjir kilat pada petang Ahad yang lalu walaupun kedudukan ketiga-tiga kilang tersebut di atas bukit.
Antara kilang-kilang yang terbabit adalah Hak Hwee Sdn.Bhd., Technecon Precision Sdn.Bhd. dan So Special Plastic Enterprise Sdn.Bhd.
Hujan yang bermula dari pukul 3.50 petang dan berlanjutan selama dua jam itu telah menyebabkan beberapa mesin dan produk yang masih di dalam proses pengeluaran menjadi rosak atau separa rosak. Selain dari itu, beberapa peralatan pejabat seperti komputer yang diletakkan di lantai turut rosak disebabkan bencana tersebut.
Beberapa pekerja syarikat terbabit yang sedang bercuti dan tinggal berhampiran telah dipanggil untuk membantu menyelamatkan peralatan dan barangan yang berharga.
Pengarah Urusan Hak Hwee Sdn.Bhd., Tan Hup Lian, berkata kejadian banjir 16 Mac merupakan kejadian ketiga di dalam tempoh sebulan. Kejadian pertama berlaku pada 31 Mac manakala kejadian kedua berlaku pada 6 Mac yang lalu. Pihak syarikat telah membuat laporan polis bagi kedua-dua kejadian terdahulu selain aduan di Majlis Perbandaran Muar dan Pejabat Tanah Muar.
"Siapa sangka di atas bukit pun ada banjir. Jadi kami tidak menginsurankan kilang kami dengan insurans banjir. Sudah empat tahun lebih kami buka kilang tapi tak pernah banjir. Bila ada projek di sebelah baru berlaku banjir..," ujar Tan Hup Lian yang trauma apabila mendengar bunyi hujan.
"Saya akan berkejar ke kilang yang terletak lebih 10km dari rumah saya walaupun di waktu malam apabila terdengar bunyi hujan renyai. Hidup saya tidak lagi tenteram seperti dulu," kata Encik Tan Hup Lian lagi.
Bagi Noraizan bin Mohd.Sharif yang merupakan Pengurus Sumber Manusia di syarikat tersebut, beliau terpaksa memberi cuti tidak bergaji sekurang-kurangnya dua hari kepada sebahagian besar pekerja setiap kali berlaku bencana banjir. Kira-kira 100 pekerja akan terjejas pendapatan mereka manakala hanya sebahagian kecil sahaja yang akan bertugas membersihkan kawasan kilang.
Lee Chyn Hann yang merupakan Pengurus Pemasaran berkata bencana banjir ini menjejaskan reputasi syarikat. Ini kerana pihak syarikat gagal untuk mematuhi tarikh penghantaran yang ditetapkan oleh pembeli. Ia juga mungkin akan menjejaskan peluang syarikat untuk mendapatkan kontrak yang sama di masa hadapan.
Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan oleh pihak syarikat, banjir dipercayai berlaku akibat kegagalan pemilik dan kontraktor projek perindustrian bersebelahan mengambilkira kesan alam sekitar semasa membuat perancangan projek pembangunan industri tersebut. Pemaju projek seluas kira-kira 47 ekar, Saribina Holding yang berpejabat di Pulau Pinang dikatakan memulakan projek tapak tanpa mendapat kebenaran sepenuhnya daripada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Muar.
Ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan penambahan ketinggian aras tanah projek sekurang-kurangnya satu meter lebih tinggi dari aras tanah kilang yang berhampiran dipercayai menjadi punca kejadian banjir tersebut. Ini kerana sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran tanah dan lumpur yang datang dari projek tersebut.
Penimbusan dua kolam besar yang terdapat di tapak yang sedang diusahakan itu menambahkan lagi jumlah air dan lumpur yang terpaksa ditampung oleh parit yang sempit.
Pihak pemaju juga meninggikan aras tanah projek kira-kira satu meter lebih tinggi daripada aras tanah kilang-kilang yang bersebelahan dengan projek tersebut.
Apa yang dikesali ialah pihak yang berkenaan masih gagal untuk menyelesaikan masalah tersebut walaupun ia telah beberapa kali berulang. Keadaan yang tiada kesudahan ini menerbitkan trauma dan tekanan perasaan kepada pihak pengurusan.
Pihak sub kontraktor yang melihat kawasan bencana selepas beberapa hari bencana berlaku berkata mereka telah membina parit dan sebarang kejadian banjir bukanlah masalah mereka.
Sub kontraktor tersebut berkata banjir kini berlaku di mana-mana samada di Johor Bahru atau di Kuala Lumpur. Namun apa yang menjadi persoalan ialah kenapa baru sekarang ia berlaku? Kenapa sebelum ini tiada banjir?
Pihak Majlis Perbandaran Muar, Encik Nazri dan Encik Saharudin berkata, pihak mereka telah menghantar notis kepada pemaju dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. Pihak MPM juga mendapati tiada sebarang kelulusan diberi untuk kerja-kerja tapak.
Pemaju dipercayai tidak sabar untuk melaksanakan projek dan ingin melaksanakan ia dengan segera. Keadaan inilah yang menyebabkan projek tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa perancangan yang mengambilkira kesan dan akibat terhadap alam sekitar.
Pejabat Tanah Muar pula menjelaskan tapak tanah tersebut dimiliki pihak persendirian dan mereka tidak mempunyai kuasa dan tidak bertanggungjawab di atas setiap kejadian yang berlaku.
Pihak-pihak pengilang yang terbabit berkata mereka berharap semoga pemaju lebih bertanggungjawab dan bekerjasama mnyelesaikan kemelut dan masalah yang dihadapi mereka kerana ia menjejaskan pendapatan syarikat dan menjejaskan pendapatan pekerja. Ia juga menganggu perjalanan dan kehidupan seharian kesemua yang terbabit di dalam bencana tersebut samada secara langsung atau tidak langsung.
Friday, April 21, 2006
Pusaka Peninggalan Sejarah Muar
(Bernama)
MUAR: Raja Jalan Raya! Memang benar kenyataan tersebut tetapi ia suatu ketika dulu. Kemajuan Muar menyebabkan Beca hanya sebagai pusaka peninggalan sejarah yang masih tinggal pada hari ini.
Hanya segelintir dari kita sahaja yang 'menyewa' beca kerana terdapat perbagai lagi kenderaan alternatif yang lebih laju dan cepat seperti bas dan teksi.
Sedekad yang lalu terdapat beratus-ratus beca di Muar tetapi kini hanya kira-kira 25 buah sahaja yang tinggal dan bergerak di jalanan.
Bernama yang meninjau situasi ini mendapati pengayuh beca yang masih setia terdiri dari mereka yang berada di penghujung garisan usia.

Termenung menanti pelanggan yang tidak kunjung tiba (Bernama)
Atan Said, walaupun telah berusia 72 tahun tetapi beliau masih mengayuh beca untuk mencari rezeki.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pengayuh beca semasa penjajahan Jepun.
"Pada suatu masa, terdapat 600 hingga 700 pengayuh beca di Muar. Kami menghantar penumpang ke mana-mana destinasi yang mereka mahu." ujar beliau yang merupakan anak kelahiran Muar, yang mengenakan bayaran RM3 untuk setiap perjalanan.
"Sekarang agak susah, orang lebih suka bas dan teksi. Nak dapat RM10 pun susah. Kadang-kadang tak ada langsung" katanya lagi.

"Beca ini adalah juga rumah saya. Saya tak ada rumah. Saya tak ada pendapatan tetap. Hanya mengharapkan ikhsan orang," katanya. (Bernama)
Lapan puluh tahun, Atan Mohamad berkata kehidupan sebagai pengayuh beca sememangnya sukar.
“Saya dah kerja begini sejak 1942. Setiap seorang penarik beca boleh memperolehi RM sehari suatu ketika dulu.".
“Sekarang nak dapat RM10 pun susah. Kadang-kadang tak ada. Macamana nak hidup,” kata anak kelahiran Johor Baru yang kini hidup sendirian setelah kematian isterinya tidak lama dahulu.
Bagi Atan, beca tersebut juga nerupakan rumahnya.
"Beca ini adalah juga rumah saya. Saya tak ada rumah. Saya tak ada pendapatan tetap. Hanya mengharapkan ikhsan orang," katanya.
Cerita berbeza bagi 60-tahun Shukri Zuhani, yang berasal dari Rengit, Pontian. Beliau bekerja sebagai pengayuh beca di waktu siang dan menjual satay di waktu malam.
"Pendapatan pengayuh beca adalah bermusim. Bila ada perayaan, beliau boleh memperolehi RM20 sehari," katanya.
Shukri berharap kenaikan harga minyak akan menyebabkan penduduk Muar dan pelancong lebih kerap mengunakan beca untuk bergerak.
Keunikan beca Muar telah memberi idea untuk pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Muar membina replika beca setinggi 7 meter di Kawasan Rekreasi Kesang tidak jauh dari bandar Maharani Muar. Ia kini menjadi tarikan utama pengunjung.
ADUN Maharani, Datuk Mohd Ismail Mohd Shah, meminta kerajaan negeri untuk memelihara kewujudan pengayuh beca sebagai sebahagian keunikan sejarah Bandar Muar.
“Beca di Muar adalah unik dan mempunyai sejarah yang perbagai."
"Adalah menjadi satu kerugian jika kita membiarkannya hilang dan lenyap ditelan arus kemodenan. Tiada daerah lain di Johor yang mempunyai pengangkutan sebegini."
"Ia hanya ada di Muar," kata Mohd Ismail. – Bernama
Peserta PLKN berbakti di DUN Sungai Abong
Peserta PLKN berbakti di DUN Sungai Abong
(Berita Harian 21/4/2006)
MUAR: Seramai 40 Peserta Latihan Khidmat Negera (PLKN) Kem Seri Ledang, Tangkak menyertai gotong-royong membersihkan persekitaran bangunan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, di Taman Mulia, di sini, semalam.
Kegiatan gotong-royong oleh pelatih berkenaan bersama dua jurulatih program Modul Khidmat Komuniti dan Kejiranan kem berkenaan, Azizul Azrai, 23, dan Norlela Othman, 24, adalah aktiviti kegiatan luar pertama membabitkan pelatih berkenaan.
Program itu dilancarkan Pengerusi PDK berkenaan, Datin Fauziah Mansor yang juga isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh.
Hadir sama Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Muar (JKM), Mohd Shamsur Mohd Safuan dan guru PDK itu, Safida Japar.
Azizul berkata, mereka yang menyertai program itu sebahagian daripada 340 peserta yang sedang mengikuti latihan Siri ke 2 Kumpulan 3/2006 yang ditempatkan di kem itu bermula 19 Mac lalu.
"Semasa di dalam kem, anggota kumpulan kami menganjurkan program khidmat komuniti dan kejiranan pada setiap Sabtu dan Rabu," katanya ketika di temui di majlis berkenaan.
Norlela berkata, antara kegiatan yang dijalankan di dalam kem ialah latihan fizikal dan jasmani bagi meningkatkan kecergasan minda dan kesihatan.
Katanya, kegiatan di luar kem membolehkan peserta menimba pengalaman terhadap kerja kebajikan dan sukarela yang dilaksanakan pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) terutama membantu orang kurang upaya (OKU).
300 penduduk miskin, OKU dapat bantuan
300 penduduk miskin, OKU dapat bantuan
(Berita Harian 21/4/2006)
MUAR: Kira-kira 300 penduduk miskin, kurang upaya dan ibu tunggal semua kaum membabitkan tiga daerah iaitu Muar, Tangak dan Segamat menerima bantuan beras, hamper, bahan makanan dan wang tunai, di sini, kelmarin.
Bantuan sumbangan badan kebajikan N'Caring Society yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu disampaikan, Presidennya Dr Anna Tee pada majlis penyampaian di Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (SRJK) Chung Hwa, Jalan Abdullah.
Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dan Presiden Rumah Kebajikan Annai Illam, Selangor, S Chandrasekaran.
Badan kebajikan berkenaan turut menyumbangkan kerusi roda kepada dua penduduk yang mengidap penyakit lumpuh.
Tee berkata, walaupun N'Caring Society di bawah kendaliannya bergiat di Kuala Lumpur, golongan kurang bernasib baik yang berada di luar kawasan tetap tidak dilupakan.
Katanya, melalui bantuan itu diharapkan dapat meringankan kewangan mereka yang memerlukan dan menikmati kehidupan lebih baik.
Beliau berkata, selain menghulurkan bantuan kepada penduduk miskin dan kurang upaya, persatuan turut menganjurkan pelbagai kegiatan membabitkan kanak-kanak.
"Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu seramai 1,000 kanak-kanak di bawah usia 12 tahun menyertai program melukis bendera Malaysia sepanjang 160 meter.
"Kegiatan berfaedah seperti itu selain mendidik kanak-kanak menghargai seni dan daya kreativiti, juga mewujudkan keharmonian dalam kehidupan seharian," katanya pada majlis berkenaan
Beg udara penyelamat Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
MUAR: Beg udara menyelamatkan seorang wanita yang mengandung lapan bulan daripada maut dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kilometer 16, Muar-Tangak, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Yang Geok Swee, 23, terselamat apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan.
Geok Swee dikatakan memandu berseorangan ketika dalam perjalanan pulang dari bandar Tangkak ke rumahnya di Serom, dekat sini.
Jurucakap polis berkata, kereta Honda City yang dipandunya dikatakan gagal mengelak sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan ketika menghampiri satu kawasan pembinaan jalan.
Katanya, mangsa dikeluarkan orang ramai yang melalui tempat kejadian dan menghantarnya ke Hospital Tangkak sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut.
Manakala pemandu Proton Wira terbabit tidak mengalami kecederaan serius.
Menurut bapa mangsa, Yang Liew Tee, 50-an, sebelum kejadian Geok Swee datang ke rumahnya di Tangkak untuk menziarahi ibunya dan bertolak balik ke Serom pada jam 8 malam.
“Selepas berjumpa ibunya, dia meminta diri untuk pulang ke rumah kerana hari sudah malam dan saya berpesan kepadanya supaya berhati-hati memandu,” katanya.
Bagaimanapun Liew Tee berkata, dia dan keluarga amat terkejut dengan berita kemalangan yang menimpa anaknya selepas menerima satu panggilan telefon kira-kira jam 8.30 malam.
Katanya, dia bergegas ke hospital Tangkak apabila diberitahu anaknya dihantar ke sana sejurus diselamatkan orang ramai.
“Ketika itu saya hanya berdoa supaya dia dan bayi dalam kandungannya selamat, ini adalah anaknya yang pertama,” katanya ketika ditemui.
“Saya diberitahu anak saya amat bernasib baik kerana beg udara yang menghalang daripada mengalami kecederaan serius terutamanya anak dalam kandungan.
“Dia terselamat dalam kejadian ini dan saya berdoa dia juga akan selamat bersalin bulan depan,” katanya.
(Harian Metro 21/4/2006)
Sunday, April 16, 2006
Tiada perancangan punca banjir
Tiada perancangan punca banjir kilat
Oleh Norazan bin Mohd.Sharif
MUAR: Sikap mengabaikan dan tidak mengambilkira kesan alam sekitar oleh pemilik dan kontaktor sebuah projek pembangunan industri di batu 7 1/2, Jalan Bakri - Yong Peng, Muar telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga buah kilang ditengelami banjir kilat pada petang Ahad yang lalu.
Hujan yang bermula dari pukul 3.50 petang dan berlanjutan selama dua jam itu telah menyebabkan beberapa mesin dan produk yang masih di dalam proses pengeluaran menjadi rosak atau separa rosak.
Beberapa pekerja syarikat terbabit yang sedang bercuti dan tinggal berhampiran telah dipanggil untuk membantu menyelamatkan peralatan dan barangan yang berharga.
Pengarah Urusan Hak Hwee Sdn.Bhd., Tan Hup Lian, berkata kejadian banjir ini merupakan kejadian ketiga di dalam tempoh sebulan. Kejadian pertama berlaku pada 31 Mac manakala kejadian kedua berlaku pada 6 Mac yang lalu. Pihak syarikat telah membuat laporan polis bagi kedua-dua kejadian terdahulu selain aduan di Majlis Perbandaran Muar dan Pejabat Tanah Muar.
Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan oleh pihak syarikat, banjir dipercayai berlaku akibat kegagalan pemilik dan kontraktor projek perindustrian bersebelahan mengambilkira kesan alam sekitar semasa membuat perancangan projek tersebut.
Ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan penambahan ketinggian aras tanah projek sekurang-kurangnya satu meter lebih tinggi dari aras tanah kilang yang berhampiran dipercayai menjadi punca kejadian banjir tersebut. Ini kerana sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran tanah dan lumpur yang datang dari projek tersebut
Apa yang dikesali ialah pihak yang berkenaan masih gagal untuk menyelesaikan masalah tersebut walaupun ia telah beberapa kali berulang. Keadaan yang tiada kesudahan ini menerbitkan trauma dan tekanan perasaan kepada pihak pengurusan.
|